Acara mengangkat sumpah bermula keesokkan harinya selepas melapor diri. Wanita muslim dan non muslim berbaju kurung, lelaki berpakaian casual smart. Berbaris dalam berpuluh-puluh barisan pada pagi itu. Wanita disebelah kanan, lelaki disebelah kiri. Adab antara lelaki dan wanita dijaga, pergaulan dikawal. Itu juga ditekankan. Respek.
Sebelum acara angkat sumpah dimulakan, peringatan diberi dengan arahan-arahan yang perlu dipatuhi setelah mengangkat sumpah untuk menjadi seorang rekrut dan seterusnya anggota tentera. Keizinan untuk mengundur diri diberi sekiranya tidak mahu meneruskan latihan. Wanita tetap dengan semangat kental, tak ada seorang pun yang beralah. Hanya seorang saja lelaki yang merasakan dirinya tidak mampu ataupun tidak mahu meneruskan niatnya untuk menjadi anggota tentera. Sayang peluang dilepaskan. Tapi mungkin ada masalah lain yang menghambat beliau untuk menarik diri. Mungkin, positif.
Usai acara angkat sumpah beramai-ramai. Maka bermulalah sesi pertukaran No IC awam kepada No Tentera. IC awam dilupuskan. Seronok, serius seronok bila masing-masing dapat 'nombor badan'. Uniform diagihkan dengan percuma. Pakaian No 5 (Celoreng), Pakaian No 3(Kerja), Pakaian No 4(Kawad) - kini, sudah dimansuhkan serta dilupuskan. Pakaian No 10(Trek suit). Kami dikenalkan dengan 'nombor' untuk jenis pakaian dan harus menyebut nombor untuk nama pakaian tersebut. Dalam tentera ada 10 jenis pakaian. Begitu juga dengan jenis kasut/boots. Pening mulanya!
Bermula dari situ, hampir seluruh kehidupan harian berubah. Berbeza semasa menjadi awam jika dibandingkan. Rambut di potong, gaya seperti rambut lelaki. Tak kira samada bertudung atau tidak semasa menjalani latihan, rambut harus dipotong. Menangis tak berlagu bagi rakan-rakan yang rambutnya panjang berjurai ke pinggang, ke punggung ke lantai. Sayang tak sayang, itu harus. 3 minggu sekali tukang-tukang gunting tak pernah lupa datang selenggara kepala kami. Hampeh.
#Ayuh, buat kerja yang menimbun dulu..senggang nanti sambung semula ya.
