20.11.10

Ikut naluri sendiri

'BERWASPADALAH dengan lelaki Pantai Timur di Malaysia, mereka gemar mengganggu wanita kulit putih dan pernah juga beberapa kali kes percubaan mencabul telah dilaporkan kepada pihak berkuasa...'
Pernyataan itu membuatkan saya terkejut. Saya pernah membacanya dalam sebuah buku panduan kembara yang memberi keterangan mengenai catatan pengalaman dan destinasi pelancongan di negeri Kelantan dan Terengganu.
Penerbitan dengan jenama logo popular itu benar-benar membuat saya terhina (walaupun saya bukan lelaki Pantai Timur). Sekurang-kurangnya, saya rasa marah kerana sehingga begitu sekali ulasan rambang seperti itu dibenarkan tersiar dalam buku siri kembara berkenaan.
Bagaimanakah nanti tempias ulasan tersebut terhadap imej pelancongan di situ? Bagaimana pula pendirian golongan pengembara backpack yang mahu mencari kehalusan budi masyarakat dan suasana tradisional di Kelantan dan Terengganu?
Sempat saya bertanyakan isu tersebut kepada seorang pengembara tegar dan juga penulis bebas, David Bowden. Lelaki berusia lebih setengah abad yang bermastautin di negara ini sejak berpuluh tahun lalu itu hanya tersenyum dan meminta saya bertenang dan berfikir semula.
"Sebab itu saya menasihatkan ramai pelibur agar tidak percaya 100 peratus pada buku panduan kembara.
"Ia ditulis oleh ratusan pengembara dengan latar sentimen yang berbeza. Mereka kemudian menjual catatan mereka kepada pihak penerbit buku berkenaan.
Tanpa prejudiis
"Malangnya, setiap orang mempunyai pengalaman berlainan. Jika difikirkan secara rasional, satu pengalaman buruk yang terpencil tidak menggambarkan keseluruhan keadaan.
"Memang malang apabila catatan dalam buku itu tidak disunting dengan baik," ujar Bowden yang pernah bersama-sama saya menjamu selera sambil bersila dan menggunakan tangan di sebuah inap desa di Langkawi tidak lama dahulu.
Menurut Bowden, ulasan seperti itu sebaliknya akan menjadikan golongan pengembara sejati mahu terus mengembara tanpa rasa prejudis.
"Namanya pun buku panduan. Ia bukan buku tentang doktrin kehidupan. Maka, kita hendaklah sekadar membacanya tanpa perlu membuat andaian mahupun keputusan tertentu.
"Kalau seseorang itu takut untuk melangkah jauh hanya kerana dia percaya bulat-bulat pada kata-kata orang lain, dia bukan seorang pengembara sejati.
"Sebaliknya, dia hanyalah pelancong tipikal yang hanya rasa selamat jika berada di dalam bas pesiaran berhawa dingin!" jelasnya yang pernah diberi anugerah Friends of Thailand oleh lembaga pelancongan Negara Gajah Putih itu.
Bowden turut berpesan, perancangan perjalanan seseorang juga tidak sepatutnya bersandarkan pada perkara yang dicadangkan di dalam buku panduan sedemikian.
"Cadangan perjalanan, sama ada tempat untuk dilawati atau lokasi penginapan, membolehkan kita membandingkannya dengan situasi dan pilihan yang lain.
"Lebih menyeronokkan kalau kita bergerak mengikut naluri kembara sendiri di tempat-tempat yang sudah kita kenal pasti sebagai selamat.
"Bergerak di luar radius atau laluan yang disyorkan bakal menemukan kita dengan lebih banyak tarikan. Kita lebih mengenali pola masyarakat, budaya, suasana dan makanan yang tidak langsung tercatat dalam buku panduan itu.
"Akhirnya, kualiti pengalaman kita itulah yang akan menandingi segala yang pernah kita baca. Malah, anda boleh menulis catatan atau jurnal anda sendiri selepas itu," ujarnya panjang lebar.
Tambah Bowden, apabila seseorang pengembara itu berani mendekati dan berinteraksi pada komuniti setempat, ia melatih rasa hormat dan konsep kesaksamaan darjat walaupun masing-masing dari dunia yang berbeza.
Mendengarkan pandangan sebegitu daripada seorang yang otai dalam hal-hal kembara seperti Bowden, saya semakin bersiap sedia untuk menjejak ke destinasi baru dengan lebih beretika dan bertanggungjawab, seiring kamera dan buku catatan di tangan!

No comments:

Post a Comment

Nak komen? Haa..sila! sila! :D