2.4.13

Jiwa Patriotik: Part 2

Acara mengangkat sumpah bermula keesokkan harinya selepas melapor diri. Wanita muslim dan non muslim berbaju kurung, lelaki berpakaian casual smart. Berbaris dalam berpuluh-puluh barisan pada pagi itu. Wanita disebelah kanan, lelaki disebelah kiri. Adab antara lelaki dan wanita dijaga, pergaulan dikawal. Itu juga ditekankan. Respek.

Sebelum acara angkat sumpah dimulakan, peringatan diberi dengan arahan-arahan yang perlu dipatuhi setelah mengangkat sumpah untuk menjadi seorang rekrut dan seterusnya anggota tentera. Keizinan untuk mengundur diri diberi sekiranya tidak mahu meneruskan latihan. Wanita tetap dengan semangat kental, tak ada seorang pun yang beralah. Hanya seorang saja lelaki yang merasakan dirinya tidak mampu ataupun tidak mahu meneruskan niatnya untuk menjadi anggota tentera. Sayang peluang dilepaskan. Tapi mungkin ada masalah lain yang menghambat beliau untuk menarik diri. Mungkin, positif.

Usai acara angkat sumpah beramai-ramai. Maka bermulalah sesi pertukaran No IC awam kepada No Tentera. IC awam dilupuskan.   Seronok, serius seronok bila masing-masing dapat 'nombor badan'. Uniform diagihkan dengan percuma.  Pakaian No 5 (Celoreng), Pakaian No 3(Kerja), Pakaian No 4(Kawad) - kini, sudah dimansuhkan serta dilupuskan. Pakaian No 10(Trek suit). Kami dikenalkan dengan 'nombor' untuk jenis pakaian dan harus menyebut nombor untuk nama pakaian tersebut. Dalam tentera ada 10 jenis pakaian. Begitu juga dengan jenis kasut/boots. Pening mulanya!

Bermula dari situ, hampir seluruh kehidupan harian berubah. Berbeza semasa menjadi awam jika dibandingkan. Rambut di potong,  gaya seperti rambut lelaki. Tak kira samada bertudung atau tidak semasa menjalani latihan, rambut harus dipotong. Menangis tak berlagu bagi rakan-rakan yang rambutnya panjang berjurai ke pinggang, ke punggung ke lantai. Sayang tak sayang, itu harus. 3 minggu sekali tukang-tukang gunting tak pernah lupa datang selenggara kepala kami. Hampeh.


#Ayuh, buat kerja yang menimbun dulu..senggang nanti sambung semula ya.

1.4.13

Jiwa Patriotik: Part 1


11 tahun yang lepas berada di tempat ini selama hampir 6 bulan, tapi tak pernah sekali pun keluar merayau-rayau di bandar. Samada hari biasa mahupun hari minggu. Tidak dibenarkan. Hanya berada dalam kawasan sepanjang masa. Tempat dimana baru nak mengenal apa dan bagaimanakah menjadi seorang askar? 

Hati berbunga-bunga gembira, bersemangat bagai bila terpilih untuk ke sini. Bangga, sangat bangga. Jiwa patriotik rupanya! Alhamdulillah, inilah rezeki sampai pencen mungkin. Rungut dalam hati. Biarpun pada orang lain, menjadi askar adalah pilihan terakhir dalam memilih kerja? Tidak bagi saya, walhal secara tak sengaja sebelum melangkah untuk pergi temuduga terbuka di Sungai Petani, saya sudah pun ada kerja. Cikgu kat nursery (je!) Kerja yang mulia juga, mendidik kanak-kanak mengenal huruf dan nombor. Tapi dalam hati tak ada taman, tak syok, tak mendapat kepuasan yang sepenuhnya. Namun tetap mencurahkannya dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang. Hanya sementara sehinggalah secara tak sengaja juga kaki saya melangkah ke tempat temuduga tersebut bersama dua orang kawan yang sangat beriya nak menjadi Ustazah KAGAT (Kor Agama Angkatan Tentera). Saya hanya di ajak! dan saya patuh mengikut kawan yang seangkatan menjadi cikgu di Baitul Mukmin, Wangsa Melawati.

Ralat rasanya bila hasrat kawan-kawan yang beriya untuk menjadi Ustazah Kagat tak kesampaian. Risau, gementar dan takut bila saya perlu melapor diri seorang diri ke pemilihan akhir di Ipoh tanpa kawan-kawan saya. Namun saya redah dengan sokongan dan harapan emak dan ayah. Alhamdulillah, memang ini rezeki saya sampai pencen! Bangga, sangat bangga dengan kemampuan diri sendiri. Layak.

Perkenalan dengan beberapa kawan baru semasa pemilihan akhir di Ipoh mengurangkan rasa risau, gementar dan takut untuk saya terus melangkah ke PUSASDA (Pusat Latihan Asas Tentera Darat). Di sana kami telah berjanji akan berjumpa semula di Stesen Keretapi Seremban pada tarikh yang ditetapkan untuk melaporkan diri. Melangkah penuh semangat.

Ketika itu langsung tak terbayang apa yang akan berlaku seterusnya. Bagaimanakah kehidupan menjadi rekrut, apakah aktiviti rekrut? apakah undang-undang dan peraturan yang perlu rekrut patuhi? Langsung tak terbayang dan terlintas dalam kotak fikiran. Langsung tak study! Hanya nampak betapa ramainya kawan-kawan baru yang bakal dan sama-sama menginap di Kompeni J(Juliet). Hanya nampak banyaknya Kompeni, bangunan penginapan yang tersergam indah dan selesa. Kompeni (A)Alpha hingga (I)India untuk penginapan rekrut lelaki. Berakhir dengan kompeni J untuk wanita. Setiap kompeni diperuntukkan untuk 300++ orang rekrut. Bayangkan berapa ribu orang yang bakal direkrut menjadi seorang askar yang terlatih dalam masa setengah tahun. Sangat meriah...ketika itu, dalam fikiran saya tanpa memikirkan cabaran dan rintangan selepasnya. Selepas mengangkat sumpah!



#Kekoknya tulis macam ni, entri patriotik kot mestilah serius..sambung nanti ya!